Apa Itu PPT ?
Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) ataupun dahulu dikenali sebagai Pentauliahan Pencapaian Terdahulu merupakan satu kaedah untuk memberi pengiktirafan kepada mana-mana individu yang boleh membuktikan keterampilan yang digariskan di dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian terdahulu yang dimiliki. 

Kaedah ini mula diperkenalkan sebagai salah satu kaedah Persijilan Kemahiran Malaysia pada 13 September 1996 bertujuan memberi pengiktirafan kepada pekerja mahir negara di mana kaedah ini menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat di mana proses ini dapat membantu individu untuk menilai dan membina pembelajaran yang mereka telah perolehi secara formal atau tidak formal.
 
Siapa Yang Layak Diberi Pengiktirafan ?
Semua pekerja industri dari sektor perkhidmatan dan pembuatan yang memenuhi syarat tempoh pengalaman bekerja dalam bidang yang berkaitan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan. Pekerja industri yang layak akan dianugerahkan Sijil sehingga tahap tertinggi mengikut bidang masing-masing seperti yang dinyatakan di dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) / National Occupational Skill Standard (NOSS).
 
Siapa Yang Boleh Memohon ?
Terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan tanpa mengambil kira bila, bagaimana dan di mana ianya diperolehi sama ada melalui pengalaman kerja, pengalaman hidup ataupun latihan (formal atau tidak formal).
 
Apakah Bidang Yang Boleh Dipersijilkan Melalui PPT ?
Permohonan adalah dibuka kepada semua bidang yang tersenarai di dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) / National Occupational Skill Standard (NOSS) kecuali bidang-bidang berikut, iaitu :

Senarai NOSS yang tidak boleh dipersijikan melalui PPT (Muat turun)
 
Rujuk Daftar NOSS Terkini



Apakah Faedah Yang Boleh Diperolehi ?
Faedah kepada individu
  • Berpeluang mendapat pengiktirafan dan seterusnya memberi kepuasan serta motivasi untuk memajukan diri; 
  • Penganugerahan Sijil dalam masa yang singkat (tidak perlu menghadiri kelas / latihan / menduduki ujian); dan 
  • Dapat menyumbang ke arah pembangunan kerjaya.
Faedah kepada majikan
  • Meningkatkan produktiviti dan prestasi syarikat; 
  • Menjimatkan kos bagi tujuan latihan dan persijilan pekerja; dan 
  • Meningkatkan imej syarikat 
Faedah kepada negara
  • Meningkatkan bilangan tenaga mahir yang berkelayakan; 
  • Menjana sektor industri dengan pertambahan tenaga mahir negara;
  • Meningkatkan imej negara di mata dunia dari segi perkhidmatan dan produk yang dihasilkan; dan 
  • Menjadi tarikan pelabur asing melabur di negara 
 
Berapa Bayaran Yang Dikenakan ?
Bayaran permohonan sebanyak RM300 bagi setiap program hendaklah dibuat dalam bentuk Kiriman Wang, Deraf Bank atau Pesanan Kerajaan (L.O.) atas nama `KETUA PENGARAH PEMBANGUNAN KEMAHIRAN’yang memiliki tempoh sahlaku sekurang-kurangnya tiga (3) bulan dari tarikh permohonan diterima.  Bayaran dalam bentuk tunai, wang pos dan lain-lain tidak akan diterima;
 
Bagaimanakah Cara Untuk Memohon Pengiktirafan Melalui Kaedah Ini?
Pekerja industri yang berminat untuk mendapatkan pengiktirafan bagi setiap pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, hendaklah mengisi Borang Permohonan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) [JPK/PPT/1001(P2)]yang boleh dicetak di www.dsd.gov.my.  Setiap permohonan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran bersama-sama dokumen sokongan lain yang ditetapkan, iaitu:

    a)Borang Permohonan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) [JPK/PPT/1001(P2)] yang telah lengkap diisi;
    b)Bayaran permohonan;
    c)Salinan Kad Pengenalan Pemohon;
    d)Surat pengesahan majikan beserta tempoh pengalaman bekerja dalam bidang kemahiran berkenaan;
    e)Salinan SKM tertinggi yang dimiliki (jika ada); dan
    f)Dokumen-dokumen lain yang berkaitan.
Switch To Desktop Version